Sabtu, Januari 25, 2014

The Malaysian winter: ....walaupun terpaksa merangkak di atas salji

Assalamualaikum...!
Di antara isu terbesar yang dibincangkan sekarang adalah tentang suhu persekitaran yang ganjil. Apa tidaknya, apabila hendak saja mandi di pagi subuh, airnya sejuk bukan kepalang.
Ketika sedang Pendita menulis artikel ini, suhu tempatan adalah 24 darjah Celcius. Dinginlah juga walaupun tidak sedingin di Kuala Krai, Kelantan hinggakan santan membeku. Sedang Pendita menulis ini pun suhu tempatan di Kuala Krai adalah 20 darjah Celcius.
Sebab-musababnya sudah tentulah berpunca dari musim sejuk (winter) di negara China. Iaitu angin dari Negara Tengah ini membawa hawa dingin yang berlebihan sehingga sampai ke Batang Berjuntai, Selangor. Fenomena angin bertiup dari tanah besar ini berulang sejak azali lagi. Tetapi kali yang ini sangat ganjil.
Ada orang memperli bahawa fenomena pelik itu tentu akan dikaitkan dengan agama. Apakah maksud mereka? Apakah yang disampaikan melalui Nabi Muhammad SAW itu karut?
Dahulu, Pendita kurang pasti apakah yang dimaksudkan di dalam hadis Nabi SAW dengan frasa, "...walaupun terpaksa merangkak di atas salji."
Berikut adalah hadisnya:
Dari Sauban RA katanya Rasulullah SAW bersabda,
“Panji-panji Hitam akan datang dari arah Timur, hati mereka bagaikan kepingan-kepingan besi. Sesiapa yang mendengar mengenai mereka, datangilah mereka walaupun terpaksa merangkak di atas salji.”
Kita tidak tahu mengapa Nabi SAW menggunakan perumpamaan yang janggal di kawasan yang dikelilingi padang pasir yang panas. Adakah ia adalah perumpamaan atau ia memang akan berlaku sedemikian?
Kita pasti setiap bait di dalam kata-kata Nabi SAW adalah dari perkataan-perkataan yang terpilih. Baginda bukan bercakap seperti orang-orang politik kampungan.
Semasa Pendita mengaji di luar negara, winter-nya sesangat sejuk mencengkam. Memang sangat tidak selesa. Ketika musim ini semua orang bertukar personaliti iaitu menjadi pendiam serta kurang bergaul. Jadi, musim ini bolehlah dianggap sedikit aman dari percakapan. Sebab itulah ada pepatah orang putih, "to leave someone out in the cold."
Jangankan hendak merangkak di atas salji, hendak keluar rumah pun tak mahu. Jadi, kita boleh faham hadis di atas bahawa untuk mengumpul pasukan panji hitam bukanlah semudah himpunan protes jalanan seperti yang berlaku di kotaraya Bangkok.
Hanya golongan yang padu dalamannya yang akan berjaya mengucapkan sumpah taat setia kepada kepimpinan panji hitam. Dengan maksud lain, hanya beberapa kerat sahaja yang terkumpul.
Apakah akan ada salji di Timur ini? Ya, terang-terangan ada. Alang-alang mencari Timur biarlah hingga ke hujungnya iaitu sehingga tiada lagi daratan. Di China! Boleh jadikah panji hitam dari China? Ya, boleh jadi. Tiada siapa pun pasti.
Sebaliknya, ada ramai berpendapat bahawa panji hitam muncul di Asia Tenggara. Tetapi Tenggara, bukannya Timur tepat. Apakah Nabi SAW tidak dapat membedakan di antara Timur dan Tenggara?
Bangsa yang menguasai pasukan panji hitam ini mempunyai hati bak, "kepingan-kepingan besi." Apakah sifat-sifat besi tulen? Padu, keras, boleh dilentur, boleh dibentuk, tidak rapuh, mudah berkarat, mudah digilap. Adakah bangsa di tanah besar China bersifat demikian, walaupun Muslim?
Siapakah puak misteri yang sedemikian rupa, yang mengenakan fabrik hitam?
Kini timbul isu medan kutub utara dan selatan beralih tempat. Dan tahun-tahun kebelakangan ini majlis agama Islam tempatan kerap membuat penetapan semula Kiblat di setiap masjid dan surau berdaftar.
Menurut sumber Jabatan Mufti Selangor (negeri yang merelakan kalimah Allah), arah Kiblat terkini adalah 292 darjah 35 minit 25 saat bagi kawasan Shah Alam. Jikalau arah Kiblat bertepatan dengan 270 darjah, maka Shah Alam berkedudukan Timur tepat dari arah Kiblat!
-Pendita-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Korban Bahasa Melayu: Kejuruteraan juga serupa....

Assalamualaikum dan Selamat Hari Raya Puasa! Sekarang dalam-dalam sibuk berhari raya walaupun sudah masuk kerja, isu besar melanda negara. I...