Isnin, Oktober 17, 2011

Ranking Malaya: bolasepak, universiti dan negaraku

Ranking Malaya, itulah maksud yang Pendita maksudkan. Malaysia ini adalah hasil kerja orang-orang di Malaya. Baiknya dan buruknya tergantung pada orang-orang di Malaya. Bagaimana pula dengan orang-orang bukan semenanjung, bukankah mereka juga Malaysia? Ya, betul juga. Namun, mereka adalah orang-orang yang berusaha untuk menyelesaikan isu kais pagi makan petang dan isu tempatan. Apa yang berlaku di Malaysia mereka terpalit jua.
'Malaysia Boleh', apa itu?
Itulah kata-kata perangsang ciptaan Tun Mahathir. Supaya kita bangkit usaha dengan kaki saiz 9, 8, 7 hingga sekecil-kecilnya. Oleh kerana majoriti orang-orang Malaya tak mahir bahasa kiasan, mari diterjemahkannya dengan bahasa pasar. Bunyinya begini: Buat kerja betul-betul. Jangan jadi pemalas.
Baru-baru ini kita begitu hampa dengan persembahan Harimau Malaya, pasukan bolasepak yang disayangi ramai. Apa dah jadi? Ya, apa dah jadi, dah jadi, apa boleh buat. Tetapi, apa yang dah jadi itulah Malaysia. Permainan yang dipersembahkan itu adalah jawapan Malaysia. Tepatnya ia adalah gambaran tentang rakyatnya, attitude-nya dan lebih-lebih lagi kepimpinannya. Membina sebuah pasukan bolasepak dengan biaya yang mahal adalah idea biasa tetapi belum tentu berkesan. Mereka telah bermain-main dengan pasukan-pasukan luar negara puluhan kali. Apabila bertanding, persembahan yang dipamerkan seolah-olah baru bergraduat sekolah sukan.
Bolasepak hidup dengan usia manusia. Setiap batch pasukan juga begitu. Yang tinggal hanya gelombang semangat. Gelombang ini boleh kekal kuat jika pemimpin pasukan amanah. Peliknya pasukan kita hanya jaguh Asia Tenggara. Apakah benar pemain-pemain pasukan luar Asia Tenggara adalah gergasi dan kita adalah tikus? Harimau Malaya Boleh?
Baru-baru yang lepas juga, kita mendapat tahu bahawa universiti-universiti awam atau IPTA tidak tersenarai ranking dunia. Menurut para pembesar akademik, ranking itu tidak perlu malah tidak penting. Mungkin ada benarnya. Tetapi universiti-unversiti itu tersenarai kerana mereka berbudaya akademik. Dengan budaya itu disamping kecemerlangan, tup-tup mereka tersenarai di dalam ranking dunia. Persoalanya, adakah IPTA kita berbudaya akademik? Pensyarah-pensyarah dikerah ke majlis entah apa-apa dengan frasa KEHADIRAN DIMESTIKAN [maksudnya:..atau anda akan dibekukan (cold storage)]. Tetapi apabila pensyarah-pensyarah gagal mendapatkan geran atau membuat penyelidikan, tiada siapa peduli. Inilah budaya IPTA dan jawapan kepada senarai ranking.
"Kita tidak perlu pada ranking...." Itu adalah ayat menutup kelemahan pembesar-pembesar akademik di Malaya.
Dengan sokongan dan bantuan kerajaan, IPTA mempunyai nyawa yang panjang. Jika tidak sudah lama gulung tikar. Sudah tentu kerna IPTA dibiaya oleh perbendaharaan negara. Para dewa-dewi (pemegang PhD) berstatus pensyarah universiti awam hidup mewah dengan biaya kerajaan menghantar mereka belajar di negara-negara kafir maju dengan belanja percuma ditambah gaji penuh.
Sudah berpuluh tahun, beratus-ratus para dewa-dewi ini dihasilkan. Ini tidak ditambah dengan bayi-bayi di kayangan yang masih mengulangkaji (researching) di universiti-universiti luar negara terutamanya England dengan kos yang berlipat ganda. Kelak mereka pulang bangga dengan status dewa atau dewi disebabkan sekeping sijil PhD. Para dewangga akademik pula sememangnya kasih pada golongan-golongan ini disebabkan statusnya.
Sinergi para dewa-dewi dan dewangga akademik ini sudah berpuluh-puluh tahun. Hingga sekarang IPTA kita juga seperti pasukan bolasepak negara, jagoh kampong. Persembahan bermutu di peringkat antarabangsa boleh dikira dengan jari kaki. Apa tidaknya, membazir wang dengan bengkel-bengkel di hotel yang jauh-jauh. Semasa bengkel sia-sia ini berjalan, si dewangga pula berpeluang menghayun batang golf di kelab golf eksklusif.
Universiti hidup umpama sepohon padi. Penduduknya adalah pemegang amanah ilmu. Mereka menyimpan dan mengembangkan ilmu. Bilangan orang-orang ini adalah kecil mengikut nisbah tertentu di dalam sesebuah populasi. Mengikut perkadaran tulen, bilangan pensyarah universiti sepatutnya kecil bernisbahkan populasi rakyat Malaysia. Bilangan orang-orang yang dilahirkan genius adalah kecil. Dengan bilangan besar IPTA dan juga bilangan besar pensyarah-pensyarahnya, siapakah itu yang memenuhi jawatan-jawatan akademik di universiti-universiti awam kita?
Universiti-universiti awam kita tidak tersenarai di dalam ranking dunia adalah juga jawapan Malaysia. Lebih tepat ia adalah gambaran tentang rakyatnya, attitude-nya dan lebih-lebih lagi kepimpinannya.
Sampai bila pun kita takkan Boleh-Boleh. Kenapa Pendita cakap begitu? Jawapannya ialah negara kita. Negara kita adalah rojak yang digaul pada tahun 1957. Kini rojak itu telah menjadi racun kepada rakyat Malaysia. Hinggakan tiada apa yang boleh dibanggakan oleh anak-anak muda.
-Sekian.

Selasa, Oktober 04, 2011

Tiga tanda-tanda Melayu

Bumi bergegar, ada rasaksa panggil Ultraman apa? Itulah nyanyian kanak-kanak Taska menunjukkan betapa watak hero diperlukan ketika kesusahan. Begitu jugalah watak-watak hero di dalam bangsa Mala-yu ini. Didalam budaya Melayu, untuk menjadi pahlawan sudah tentu mesti menguasai ilmu silat sedalam-dalamnya sehingga ke gelanggang di dalam lautan. Namun, kebanyakan kita setakat 'talipinggang hitam bercalit warna-warni' persatuan silat berdaftar. Apa pun, ilmu silat dasarnya bermula dengan lenggok tanda hormat seterusnya membayangkan sebuah 'segi empat maya' atau kata orang putih 'the imaginary square'. Ya, geometri sebuah segi empat sisi sama dan mempunyai titik pusat. Namun, konsep ini tidak terdapat di dalam kurikulum silat moden dan campuran.
Kenapa perlu sebuah segi empat dalam ilmu silat tradisional? Begitulah falsafahnya:- a) Apabila mula membina rumah mestilah ada sebidang tanah dan empat penjurunya. b) Maka penjuru-penjuru itu menjadikan sempadan. c) Apabila sudah ada sempadan maka itulah jajahan miliknya. d) Pemilik menjaga jajahannya. e) Di dalam tanah jajahan itu ada titik tengahnya iaitu pusat. f) Maka pada pusat itu diletakkan tiang sebagai tanda utuhnya binaan. Para penuntut mestilah menguasai jajahannya dengan bermain-main didalam geometri segi empat itu sebelum boleh ke tahap seterusnya. Tahap seterusnya ada pula falsafahnya yang tersendiri. Apa signikan segi empat bagi masyarakat Melayu?
Itulah piramid salah satu tanda Melayu. Namun piramid Melayu ada tiga petala. Petala tertinggi bermaksud: iman manusia kepada tuhan. Petala tengah: hubungan manusia dengan manusia. Petala bawah: alam semula jadi yang menghubungkan manusia dengan tuhan. Dengan itu, asas pertama yang perlu dikuasai para penuntut silat ialah kepekaan terhadap apa-apa disekelilingnya maka sentiasa waspada. Apakah tanda kedua? Tanda kedua ialah keris. Kita sudah sedia maklum. Tetapi ada satu lagi tanda Melayu yang kita ragu-ragu iaitu: Mohor diRaja Nabi Sulaiman dan Nabi Daud.
Sekian.

Korban Bahasa Melayu: Kejuruteraan juga serupa....

Assalamualaikum dan Selamat Hari Raya Puasa! Sekarang dalam-dalam sibuk berhari raya walaupun sudah masuk kerja, isu besar melanda negara. I...