Rabu, September 29, 2010

Kisah Pendapat 4 tabib yang berbeza

Kisah ini diambil dari Kitab Warisan Perubatan Melayu yang dibukukan pada tarikh Sanah 1288 oleh Muhammad Salleh ibni Ahmad Penambang di Kota Raja, Kelantan. Dari kitab asal ini saudara A. Samad Ahmad telah menyiapkan versi Rumi pada tahun 1981 dan ia diterbitkan pula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kisah ini membawa maksud bagaimana ikhtiar untuk kekal sihat. Susunannya serba sedikit Pendita ubah untuk mudah dibaca.

Disamping kita bekerja keras demi kehidupan ini janganlah dilupa kesihatan diri. Kerana tanpa tubuh badan yang sihat hidup ini kurang warna-warninya.

##########################################################
Fasal ini sekali peristiwa tatkala masa pemerintahan Raja Nasyruan Adil, maka dihimpunkan empat orang tabib yang tahu; seorang dari benua Rom, seorang dari benua Hindustan, seorang dari benua Habsyah, dan seorang dari benua Iraq. Maka titah Raja Nasyruan pada mereka itu, "Hei kamu keempat tabib, pilih oleh kamu akan daku, suatu ubat yang tiada lagi akan datang penyakit padaku."

Maka sembah tabib dari benua Iraq, "Tuanku, bahawa diminum air hangat pagi-pagi tiga teguk tatkala belum makan, tiada lagi datang penyakit pada orang itu." Maka sembah tabib dari benua Rom pula, "Tuanku, akan ubat segala penyakit, bahawa dibaham sehari sedikit pagi-pagi daripada jabar risyadah.

Kemudian berdatang sembah pula tabib Hindustan, "Dimakan tiap-tiap hari tiga biji buah kedekai (kedekik) yang hitam, tuanku."

Maka tabib benua Habsyah berdiam juga. Kemudian Raja Nasyruan pun bertitah, "Mengapa maka engkau diam?" Maka tabib benua Habsyah pun berdatang sembah, "Tuanku, sebabnya maka hambamu berdiam, kerana bersalahan sembah tabib yang tiga itu, tuanku." Maka titah Raja Nasyruan, "Hei tabib Habsyah, betapa salahnya kata tabib yang tiga itu? Syahadan betapa benarnya; katakanlah kepada aku supaya kudengar."

Maka sembah tabib Habsyah, "Ya tuanku, air hangat itu jika diminum pagi-pagi, akan menghancurkan hati dan melembutkan mi’dah (perut); Kerana sebab nan itu asalnya dan pada darah, barangkali sampai kepadanya hangat, nescaya hancur olehnya. Adapun akan jabar risyadah, jika dimakan pagi-pagi menambah penyakit bernama safrawi, ya tuanku. Adapun akan kedekai itu, jika dimakan pagi-pagi akan menambah penyakit bernama sadawi, ya tuanku."

Maka titah Raja Nasyruan, "Apa jua itu yang baik di makan?" Maka sembah tabib Habsyah, "Ya Syah Alam, segala ubat yang terlebih utama daripada sekalian ubat, tiada lagi ada penyakit sertanya, bahawa:-
a) jangan makan melainkan pada ketika lapar, barangkala makan jangan bahana kenyang;
b) dan jangan minum air melainkan pada ketika dahaga, dan jika minum jangan bahana penuh.
c) Dan jangan dihimpunkan makanan yang sama perangainya, seperti daging dan telur; kerana keduanya itu hangat.
d) Dan jangan dihimpunkan memakan ikan dan susu; kerana keduanya itu sejuk.
e) Dan jangan dihimpunkan memakan seperti buah kayu dan susu yang baru ditengger; kerana keduanya itu basah perangainya.
f) Dan jangan makan makanan yang berlendir kurang masaknya.
g) Dan jangan makan makanan yang sukar hancur atau liat, atau keras pada ketika memamah dia. Barangkala sukar pada ketika memamah, maka terlebih sukar lagi mi'dah mencernakan dia.
h) Dan jangan makan serta meminum air, biarkan dahulu supaya tetap makanan itu atas mi'dah,
i) Dan jangan watti (bersetubuh) pada ketika tiada ghalib syahwat,
j) dan jangan tidur barangkala tiada mengantuk.

Inilah ya syah alam, ubat yang tiada kepadanya penyakit." Maka sembah tabib yang tiga, "Sesungguhnya, seperti kata tabib Habsyah itu benar, ya syah alam."
######################################################

1 ulasan:

  1. Hamba berusaha membangkitkan kembali bangsa Melayu di bumi bertuah dgn Agama yg diredhai tuhan. Sesungguhnya masanya telah hampir dan detik kebangkitan ini akan menyedarkan seluruh dunia betapa jauhnya manusia dari kebenaran. http://mahadaya-asalama.blogpsot.com

    BalasPadam

Korban Bahasa Melayu: Kejuruteraan juga serupa....

Assalamualaikum dan Selamat Hari Raya Puasa! Sekarang dalam-dalam sibuk berhari raya walaupun sudah masuk kerja, isu besar melanda negara. I...