Gambar dibawah adalah Perjanjian & Dokumen Lama Malaysia, editor Encik Yusof Cha. Diterbitkan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia. Di dalam buku ini terdapat segala macam perjanjian yang terpaksa dibuat demi menjaga maruah dan keselamatan rakyat. Apabila kita meneliti dokumen-dokumen ini terbayang betapa beratnya mereka menandatangani dokumen-dokumen tersebut.
Pendita mengambil dokumen Persetiaan dengan Naning 1801 sebagai tambahan kepada artikel sebelum ini untuk rujukan rakyat jelata. Bacalah dan cuba kenang betapa mereka menghadapi kepayahan dahulu supaya kita mengambil iktibar daripadanya.
###########################################################
PERSETIAAN YANG DIIKAT PADA 1801 OLEH RESIDEN BRITISH DI MELAKA, LEFTENAN KOLONEL TAYLOR DENGAN PENGHULU NANING
Perkara dan syarat yang diimlakkan oleh Leftenan Kolonel Aldwell Taylor, Gabenor dan Komandan Melaka, untuk dan bagi pihak Yang Mulia Gabenor Kota St. George dengan Raja Merah Kapitan Penghulu, dll., yang bemama Dol Said; dan Lela Hulubalang dan Maulana Hakim, yang bergelar Orang Kaya; Kecil yang bergelar Musah; dan Menobonjon-kaya bergelar Konchil dan Maharaja Ankaia bergelar Sumuna; dan Maulana Garang, Menteri dan Pembesar Naning dan kampung-kampung di sekelilingnya yang dengan sesungguhnya telah menerima dan berikrar mematuhi Perkara-perkara berikut:-
Perkara 1
Kapitan, atau Penghulu, Menteri, dan Pembesar-pembesar berjanji dan bersumpah atas nama dan bagi pihak seluruh masyarakat Naning, untuk taat setia kepada Yang Mulia Gabenor dalam Majlis di Kota Saint George yang tersebut di atas, dan demikian juga kepada Gabenor dan Komandan Bandar dan Kota ini, serta semua Komandan yang ada atau yang selepas ini dilantik di bawah mereka dan tambahan pula, mereka akan melakukan apa-apa sahaja dengan penuh taat setia kepada Pihak Berkuasa British, sebagaimana yang dikehendaki daripada rakyat yang taat setia, tanpa bersama-sama atau secara berasingan mencuba melakukan apa-apa langkah permusuhan terhadap Gabenor tersebut, sama ada secara langsung ataupun tidak langsung, dan Perkara-perkara berikut hendaklah dipatuhi dengan sesungguhnya dan dengan seketat-ketatnya, dan segala kontrak dan waad lain yang telah diluluskan dengan negara lain yang boleh memudaratkan British hendaklah dimansuhkan.
Perkara 11
Jika mana-mana orang di Naning, anak Minangkabau dan anak Melayu, melanggar kandungan Kontrak ini, atau ingkar kepada Gabenor atau Pegawainya, maka Penghulu dan Pembesar hendaklah, apabila diminta oleh Gabenor, menyerahkan mereka bagi dihukum sebagaimana sepatutnya.
Perkara 111
Penghulu, Pembesar dan penduduk Naning keturunan Minangkabau, dan juga Melayu, adalah terikat untuk menyerahkan satu per sepuluh daripada hasil padi dan segala buah-buahan mereka kepada Syarikat Hindia Timur; tetapi memandangkan keadaan mereka yang miskin, Syarikat tersebut telah memutuskan bahawa Penghulu hendaklah datang sendiri, setiap tahun, atau mengarahkan salah seorang Pembesarnya supaya datang ke Melaka, bagi memberi penghormatan kepada Syarikat, dan, sebagai tanda taat setia mereka, mereka hendaklah menghadiahkan Syarikat tuaian pertama mereka sebanyak setengah koyan padi (400 gantang).
Perkara 1V
Penduduk Naning, apabila meninggalkan negeri mereka untuk ke Melaka, hendaklah menyerahkan kepada Syahbandar kebenaran bertulis daripada Penghulu, yang ditandatangan dan dicapmeterainya; dan begitu juga semua orang yang ingin meninggalkan Melaka untuk ke Naning, diarahkan supaya menunjukkan dokumen serupa kepada pihak berkuasa di sana, yang ditandatangani (atas perintah Kerajaan) oleh Syahbandar; jika tidak, kedua-dua pihak wajib menghantar balik orang yang berkenaan itu; tetapi apabila ditunjukkan Perakuan yang dikehendaki, mereka akan dibenarkan tinggal di Naning dan di kampung-kampung bersebelahan dan mencari nafkah dengan bercucuk tanam seperti menanam sirih, dll., dengan syarat mereka berpegang teguh dan mematuhi adat resam tempat itu sebagaimana yang diamalkan penduduk lain.
Perkara V
Penghulu dan Pembesar berjanji bahawa semua bijih timah yang dibawa dari Sri Menanti, Sungai Ujong, Rembau, dan tempat-tempat lain di daerah-daerah itu ke Naning, hendaklah dengan serta-merta dihantar dan diserahkan kepada Syarikat, di mana mereka akan menerima sebanyak 44 Dolar Rix tunai, dibayar dengan wang Rupee Surat, bagi setiap bahara 300 kati.
Perkara V1
Mereka juga berjanji menyerahkan lada Naning dan lada daerah-daerah bersebelahan kepada Syarikat, jika apa-apa jumlah yang banyak diperlukan, dengan dibayar harga 12 Dolar Rix sebahara.
Perkara V11
Penghulu, Pembesar, dan penduduk Naning tidak dibenarkan merunding (jualan) atau berdagang dengan mana-mana negeri pedalaman, tetapi hendaklah membawa barang-barang mereka menghilir Sungai Melaka, dengan menggunakannya, tanpa apa-apa jua alasan untuk menggunakan mana-mana laluan atau cara pengangkutan lain, dan mereka juga tidak boleh mengadakan apa-apa perhubungan dengan mana¬-mana negeri pedalaman di Sungai Penajis, jika tidak nyawa mereka akan melayang dan harta benda mereka dirampas.
Perkara V111
Penghulu dan Pembesar berjanji, atas nama Masyarakat Naning, bahawa bilamana Pembesar Yang Memerintah berundur daripada memerintah, atau apa¬-apa geruh menimpa mereka, Penghulu dan Pembesar hendaklah dalam keadaan sedemikian mencadangkan salah seorang daripada anggota keluarga mereka yang terdekat dan paling berkelayakan, kepada Gabenor Melaka, bagi menjadi penggantinya; tetapi mereka tidaklah boleh mengharapkan cadangan itu akan sentiasa dipersetujui Gabenor; sebaliknya adalah menjadi pilihan Gabenor melantik sesiapa yang difikirkannya patut dilantik.
Perkara 1X
Mana-mana hamba sama ada kepunyaan Syarikat Yang Mulia, atau kepunyaan penduduk Melaka, yang mencari perlindungan di Naning, atau di kampung-kampung atau di tempat-tempat di sekelilingnya, maka Penghulu, Pembesar dan penduduk (tiada sesiapa pun yang dikecualikan) adalah terikat bagi menangkap dan menghantar ke Pekan orang pelarian itu dengan serta-merta, (atau) orang pelarian itu boleh diserahkan kepada tuan mereka dan tuntutan sebanyak 10 Dolar Rix, tidak lebih daripada itu, boleh dituntut daripada tuannya sebagai hadiah.
Perkara X
Mana-mana hamba lelaki dan perempuan yang dipujuk lari dari Naning ke Melaka, bagi memeluk agama Kristian, maka tuan punya hamba itu akan menerima ganti rugi sebanyak separuh daripada harga hamba itu, mengikut penilaian Jawatankuasa yang akan dilantik Kerajaan.
Perkara X1
Tetapi (jika) mana-mana orang menjual mana-mana hamba beragama Kristian atau orang biasa dari Melaka kepada orang Islam atau orang Pagan, sama ada dengan kerelaan mereka sendiri atau digoda ataupun dilarikan secara paksa daripada tuan mereka, lebih-lebih lagi mereka yang menggoda hamba Kristian atau orang biasa supaya berkhatan atau menggunakan kekerasan bagi mempengaruhi mereka menjadi orang Islam, nyawa mereka akan melayang dan harta benda mereka dirampas.
Perkara X11
Dan bahawa kandungan Perkara tersebut hendaklah dipatuhi tanpa boleh dilanggar, dan Penghulu serta Pembesar berjanji dan bersumpah atas nama seluruh masyarakat, bahawa mereka akan serta-merta memulangkan dan menyerahkan kepada Yang Mulia Gabenor semua hamba yang lari yang berada di Naning atau di tempat-tempat lain.
Perkara X111
Akhir sekali, Penghulu dan Pembesar berjanji dan bersumpah dengan menggunakan al-Quran, atas nama masyarakat Naning, bahawa mereka akan mematuhi dengan sesungguhnya segala perintah yang ditetapkan dalam Perkara¬-perkara ini, dan mengikat diri mereka bagi menyerahkan mana-mana pencabul perintah tersebut kepada Syarikat Hindia Timur, supaya hukuman boleh dikenakan ke atas orang itu.
Bagi menyempurnakan segala yang dijanjikan dan dipersetujui dalam Perjanjian ini, maka saya dengan ini menurunkan tandatangan saya.
Dibuat dan diikrarkan di Bandar dan Kota Melaka pada 16 hari bulan Julai 1801.
(Tandatangan) A. TAYLOR.
Ikrar Penghulu dan Pembesar Naning
Kami, Kapitan atau Penghulu dan Pembesar-pembesar, berjanji dan bersumpah bagi pihak diri kami dan juga bagi pihak masyarakat Naning, akan sentiasa taat setia kepada Gabenor dalam Majlis Kota Saint George, Gabenor dan Komandan Melaka, serta semua Komander yang dilantik atau yang akan dilantik di bawah mereka selepas ini, dan selanjutnya akan menepati masa bagi memenuhi segala perintah dan arahan yang dikeluarkan atau yang akan dikeluarkan selepas ini, dan akan berkelakuan sewajarnya terhadap Syarikat Hindia Timur pada masa hadapan, mengikut cara sebagaimana yang dikehendaki daripada rakyat dan vasal yang taat setia.
Ditandatangani oleh DOL SAID, BILAL MOREN, KANJUN, SAMEON dan MAULANA GUNAN.
###############################################################
Sekian.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Korban Bahasa Melayu: Kejuruteraan juga serupa....
Assalamualaikum dan Selamat Hari Raya Puasa! Sekarang dalam-dalam sibuk berhari raya walaupun sudah masuk kerja, isu besar melanda negara. I...
-
Assalamualaikum dan Selamat Hari Raya Puasa! Sekarang dalam-dalam sibuk berhari raya walaupun sudah masuk kerja, isu besar melanda negara. I...
-
1 Nephi 2:11 11 Dan bapaku telah menyampaikan kata-katanya; semua ini adalah sebab kedegilan si Laman dan si Lemuel; memang mereka membebel...
-
1 Nephi 2:21 21 Sesungguhnya kaum keluargamu tidak akan mendapat rahmat Tuhan selagi mereka membantahmu. 1 Nephi 2:22 22 Dan sesungguhnya...
Amat sedih dan dukacita hamba membacanya. Bertapa perit dan sengsara datuk moyangku terpaksa laluinya. Amat besar pengorbanan mereka kepda tanah air, anak bangsa dan warisan adat Naning. Darah pahlawan pendekar Naning kami sanjungi dan tetap kami kenangi.
BalasPadamItulah kisahnya jika kita mahu ambil peringatan. Ayuh! Bangunkan anak muda kita yang lalai itu.
BalasPadam