Isnin, Mac 22, 2010

Perkara 152 & Wasiat Raja-Raja Melayu

Assalamualaikum!

Agak lama juga Pendita tidak berkarya. Maklumlah kesibukan ini seperti tidak ada kesudahannya. Hari ni Pendita hendak membawa pembaca yang budiman untuk menyelami maksud yang tersirat di dalam dua perkara yang sangat penting untuk survival Melayu di Tanah Melayu ini. 1) Perkara 152, 2) Wasiat Raja-Raja Melayu.

Untuk pengetahuan semua, Tanah Melayu ini sebenarnya tidak pernah dijajah walaupun sejak tahun 1511. Tanah yang betul-betul tergadai hanya: 1) Pulau Pinang, 2) Melaka, 3) Singapura dan 4) sebuah wilayah kecil di Perak. Tanah inilah dikenali sebagai negeri-negeri selat. Namun begitu, terdapat beberapa siri perjanjian dan persetiaan di antara raja-raja Melayu dengan Inggeris. Perjanjian dan persetiaan ini menyatakan bahawa negeri-negeri Melayu bernaung di bawah Queen.

Dengan lain kata, Inggeris menjaga negeri-negeri ini daripada musuh-musuhnya. Tetapi, sebaliknya berlaku apabila raja-raja Melayu menyokong tindakan Jepun menyerang Tanah Melayu. Maka perjanjian dan persetiaan dikira mungkir. Apabila British kembali ke Tanah Melayu, raja-raja Melayu telah diugut dengan dilucutkan kuasanya atas alasan treason atau mengkhianati Queen.

Dicadangkan Malayan Union. Orang-orang Melayu menentang hebat usul ini sehingga bangsawan-bangsawan juga turun padang. Dengan persatuan yang kuat inilah kendur the British Empire. Digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu. Itulah sejarahnya.

Jikalau benar Tanah Melayu ini adalah jajahan Inggeris, tiada siapa boleh menghalang mereka untuk mewujudkan Malayan Union. Kerana yang berkuasa hanyalah Queen bukan raja-raja Melayu. Tetapi dengan isi kandungan perjanjian dan persetiaan itu raja-raja Melayu sebenarnya berkuasa ke atas Tanah Melayu. Dengan kuasa itu maka diwujudkan dua perkara di dalam undang-undang Persekutuan Tanah Melayu iaitu Perkara 152 dan Wasiat Raja-Raja Melayu.

##################################################
Perkara 152, Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagaimanapun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam.

Kewujudan Perkara 152 tidak boleh dipadam kerana Perkara 159(5) menetapkan bahawa perkenan Majlis Raja-Raja diperlukan sekiranya ia hendak dipinda.

Perkara 152. Bahasa kebangsaan.

(1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen: Dengan syarat bahawa—

(a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan

(b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.

(2) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, bahasa Inggeris boleh digunakan di dalam kedua-dua Majlis Parlimen, di dalam Dewan Undangan tiap-tiap Negeri, dan bagi segala maksud rasmi yang lain.

(3) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, teks sahih—

(a) segala Rang Undang-Undang yang hendak dibawa atau pindaan kepadanya yang hendak dicadangkan di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen; dan

(b) segala Akta Parlimen dan segala perundangan subsidiari yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan, hendaklah dalam bahasa Inggeris.

(4) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, segala prosiding di dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi hendaklah dalam bahasa Inggeris:

Dengan syarat bahawa, jika Mahkamah dan peguam bagi kedua-dua pihak bersetuju, keterangan yang diambil dalam bahasa yang digunakan oleh saksi tidak perlu diterjemahkan ke dalam atau direkodkan dalam bahasa Inggeris.

(5) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, segala prosiding di dalam mahkamah rendah, selain pengambilan keterangan, hendaklah dalam bahasa Inggeris.

(6) Dalam Perkara ini, "maksud rasmi" ertinya apa-apa maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.

#######################################################
Pada hari Sabtu 27 Mac 2010 nanti PERKASA, sebuah badan NGO Melayu akan mengadakan mesyuarat agung di PWTC untuk membincang Perkara 152. Pendita bukanlah anggota pertubuhan ini cuma Pendita cenderung dengan perjuangannya memartabatkan bangsa.



Hari ini, sebilangan rakyat Malaysia mempertikaikan perkara-perkara berkait dengan keistimewaan orang-orang Melayu, bahasa dan rajanya. Pada pendapat Pendita mereka yang bersikap begini umumnya berasal dari negeri-negeri selat. Selama ini mereka selesa dengan pemerintahan Inggeris. Bagi mereka tiada istimewanya orang-orang Melayu, apatah lagi bahasa dan rajanya!

Jikalau boleh, mereka mahu orang-orang Melayu duduk saja di kampung bertani, menangkap ikan, mengaji ilmu akhirat, jual tanah pusaka dan bekerja di perusahaan mereka. Lagi, jikalau boleh orang-orang Melayu tak perlu belajar tinggi-tinggi. Lagi, jikalau boleh mereka hanya mahu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris sahaja!

Sampai bila-bila pun mereka mahu sukatan matapelajaran Sejarah menekankan maksud 1511 apabila Alfonso si Portugis itu merampas Melaka dengan mudah sekali. Betapi orang-orang Melayu silam tiada kekuatan langsung. Seperti negeri Melaka bersungguh-sungguh membuat tugu kapal Portugis melambangkan kekuatan penjajah Melaka. Ini semua menyimpan maksud 'tewas' di kalangan anak-anak Melayu sejak sekolah rendah lagi.

Anak-anak Melayu ini kemudian dihantar ke England mempelajari segala ilmu di samping membawa balik ego Inggeris yang lagak sombong itu. Jikalau tuan-tuan dan puan-puan tidak percaya pergilah berjumpa profesor-profesor lulusan England di universiti tempatan. Alamilah lagak sombong mereka itu. Namun begitu, sebilangannya tidak sedemikian. Golongan ego ini cukup fanatik dengan Inggerisnya. Mereka inilah diantara orang-orang yang tidak minat soal survival Melayu: bangsa, budaya, raja dan hak.

#####################################################
KUALA LUMPUR 19 Mac – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan merasmikan mesyuarat agung pertama Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 27 Mac ini.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, Dr. Mahathir akan diberikan sambutan meriah mengikut istiadat dan kepahlawanan Melayu.

”Setakat ini sudah hampir lapan 8,000 ahli dan 2,000 orang tetamu telah mengesahkan kehadiran mereka pada mesyuarat itu." (Sumber: web Perkasa)

###################################################
Wasiat Raja-Raja Melayu: Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957



Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia);

Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain;

Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan rejimen askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara;

Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan raja-raja Melayu memerintah negara ini;

Kami isytiharkan Islam adalah Agama Persekutuan;

Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu;

Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain. (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).
###################################################
Sekian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Korban Bahasa Melayu: Kejuruteraan juga serupa....

Assalamualaikum dan Selamat Hari Raya Puasa! Sekarang dalam-dalam sibuk berhari raya walaupun sudah masuk kerja, isu besar melanda negara. I...