Ahad, Julai 10, 2016

Rumah terbuka Aidil Fitri: Jikalau setakat mee kari dan kuih kering...

Selamat Hari Raya!
Mulai hari Isnin, berita-berita jemputan rumah terbuka akan mulai tersebar di kantor-kantor. Iyalah, masing-masing sudah masuk bekerja.
Cara yang paling mudah, berkesan serta menjimatkan adalah "membawa bekal" atau dikenali sebagai potluck. Ini budaya orang-orang di Lembah Klang, kununnya.
Selama Pendita perhatikan sejak tahun-tahun kebelakangan ini, jelas nampak betapa pemalasnya orang kita memasak untuk para tetamu. Mereka hendak orang menjengah ke rumah tetapi hidangan menyakitkan hati. Habis, semua rumah hidangkan rendang, ketupat, lemang. Sampai kembung perut hendak muntah makan benda yang sama. Orang nak makan nasik, tahu ke tidak?
Semasa awal Hari Raya, para tetamu berlonggok di ruang tamu dengan hidangan kuih kering dan air gas berais. Selang beberapa minit, bersurailah mereka. Bab bersalam-salaman, bermaaf-maafan, wajib hadir selesai. Samada anggota rumah tak sempat melayan atau tetamu yang hendak cepat-cepat ke rumah lain pula, tak tahu. Entah saudara belah mana atau siapa yang datang?
Pendita lihat ada rumah jemput orang kafir pada pagi 1-Syawal. Ada akai ka?
Esok, lusa dapatlah pesanan elektronik jemputan ke rumah terbuka. Bagi yang berduit, mereka menempah khemah dan pelayan dengan jamuan buffet. Jadi, kita yang dijemput ini datang makan-makan macamlah kemaruk sangat.
Iyalah, kita datang semata-mata disuruh makan, makanan yang kita mampu beli. Tuan-tuan fahamkah maksud saya? Tujuan berkumpul adalah untuk santai sambil berbual dengan anggota rumah, seperti reunion alumnus setahun sekali. Jikalau setakat makan ia bermaksud kenduri. Rumah terbuka hanya untuk kenalan rapat dan saudara-mara.
Bab makanan, di dalam budaya kita, memang sensitif. Ia adalah pembawakan sejak jaman doeloe-doeloe (zaman dulu-dulu gaya Belanda-Java). Nenek-nenek kita dulunya miskin, kais pagi makan pagi. Tambah lagi pada era Kominis Malaya yang kejam lagi anti-Islam, kini berdaftar sebagai parti politik yang disanjung anak-anak Melayu bengap sejarah.
Hari ini, bab makanan sensitifnya terletak pada tahap kesedapannya. Bukan lagi setakat apa yang dhidangkan. Orang lebih sanggup membayar KFC dari pergi ke rumah Mak Busu atau restoran tomyam yang masak cincai-cincai itu.
Jadi, sesiapa yang berkira-kira membuka rumah untuk jamuan Aidil Fitri, fikir-fikirkan. Jikalau tiada peruntukan besar, potluck cara terbaik. Jikalau mengada-ngada hendak buat rumah terbuka juga, agak-agaklah jamuannya. Sebab para tetamu korbankan masa, wang, tenaga dengan harapan berbunga-bunga. Jikalau setakat mee kari dan kuih kering...
-Pendita-
Takrifan:
Kenduri Hari Raya: Tetamu boleh jadi entah siapa.
Rumah terbuka Hari Raya: Tetamu dari kalangan rakan rapat dan saudara-mara.

Sabtu, Julai 02, 2016

Perutusan Hari Raya Puasa 1437H: Apakah kesudahan isu vaksin?

Selamat sejahtera! (bahasa Arab: Assalamualaikum)
Pertama sekali Pendita mohon segala maaf kerana lama sudah tidak bercerita atau berkhabar. Puncanya, Pendita lelah dengan suasana dalam negara dan sikap bangsa kita yang serba tidak kena.
Apa tidaknya? Bermacam hal silih berganti seolah-olah tiada hujung dan pangkal. Kenapa manusia sekarang sangat tidak kreatif dan tertutup hijab bijaksananya?
Hari ini dan hari-hari sebelumnya kita teruja dengan isu vaksin. Di samping itu, kita juga turut memantau peristiwa Brexit. Di satu perkara tentang kesihatan. Di satu perkara lain tentang ekonomi Eropah yang tempiasnya bukan boleh dibuat main.
Ekonomi dan kesihatan adalah dua kad yang sedang bersuka-suka di dalam isu semasa. Permainan kad ini tiada bedanya dengan perjudian yang terkait dengan kehidupan seharian dan apa jadinya di masa hadapan.
Kad-kad ini sangat penting di dalam mengolah emosi masyarakat sepertimana Tok Jali, seorang pencen penjawat awam, menabur beras kepada ayam-ayam kampung. Ayam-ayam ini akan segera mematuk butiran beras tadi dengan falsafah siapa yang cepat dia yang dapat. Ditabur lagi di tempat lain, ayam-ayam ini akan serbu lagi bak berebut tiket perlawanan JDT vs XXX.
Di negara kita sangat ramai lulusan sains dan teknologi. Universiti awam kita di antara yang tersenarai di kalangan universiti terbaik dunia. Pun begitu, industri asas teknologi bersusah-payah mengorek rahsia pembinaan benda-benda kompleks. Contoh, industri kereta boleh dibanggakan. Tetapi isu pembinaan enjin dan bloknya masih menjadi misteri. Apa tidaknya? Misteri ini tiada di dalam kitab akademik dan tiada juga ilmu itu oleh para profesor kita.
Kita mempunyai ramai mekanik yang boleh mengubahsuai enjin hingga berbunyi gah apabila enjin-modified ini diteran ketika suasana hening di Kampung Parit Tengah. Begitu juga halnya dengan teknologi mercun. Ramai pakar kanak-kanak kita tersadai di hospital gara-gara tidak mengikut metodologi ujikaji yang betul. Inilah kesudahannya apabila misteri tak terungkai di buat cuba-cuba dan fatwa.
Demi mengelak sepotong besi berkarat dan reput terus, para saintis bahan memandai-mandai adun beberapa bahan lain ke dalam besi itu. Lahir besi-modified iaitu keluli tahan karat. Dek kalis karat, ia menjadi bahan alien kepada alam. Organisma atau unsur lain tidak berupaya mereputkan bahan asing ini. Ya, ia bahan asing secara alami.
Hal serupa pada plastik. Sehinggakan anda terpaksa mengangkut barangan tanpa plastik jika membeli-belah di Melaka. Apa tidaknya? Plastik yang kalis reput akan merosakkan alam sekitar negeri ini!
Fahamlah kita, setiap di bumi ini mesti melalui proses pereputan supaya boleh diulang pakai zatnya. Itulah kelestarian.
Gara-gara fahaman taksub perkara maslahat, saintis makanan mengambil kesempatan dengan memperkenalkan padi ubahsuai-genetik yang kalis serangga dan penyakit. Supaya populasi dunia mempunyai lebihan makanan.
Apa tidaknya? Hasil padi berganda dan tiada lagi manusia yang kelaparan. Maka lahirlah konsep GMO (genetically modified organism). Apakah nasi yang dimakan itu beraksi seperti keluli tahan karat atau plastik di dalam usus manusia? Maklum kanser usus menjadi-jadi sekarang ini.
Serangga dan organisma pemangsa bak kanak-kanak tak berdosa itu, bergantung harap rezeki pada pokok padi mendapati ia dijamu dengan racun terorganik. Ayuhai malangnya makhluk-makhluk ini. Hanya manusia hidup senang lenang demi maslahat. Makhluk lain terkial-kial mencari makanan alami.
Pupusnya makhluk-makhluk ini runtuhlah rantaian kehidupan. Siapalah akan menanggung beban dosa tak tersengaja menutup rezeki makhluk halus ini? Petua (fatwa) maslahat?
Bukankah harus membunuh makhluk perosak?
Apa hukum memperkenalkan makhluk asing yang tak pernah wujud ke dalam rantaian kehidupan ini?
Nampaknya, golongan bangsawan dunia (The Elitist) cukup licik bermain-main dengan 2 kad tadi. Kad ekonomi dan kad kesihatan diulang kocok. Hari ini sakit besok ada obatnya. Hari ini ekonomi merudum lusa akan pulih jika ambil pakejnya. Apa susah? Bukankah manusia sekarang bagai ayam-ayam kampung yang berebut beras itu?
Pendita, apa itu vaksin?
Vaksin berbentuk cecair yang lazimnya kita faham ia sejenis ubat seperti ubat batuk. Umumnya, ia diambil melalui suntikan. Kandungan vaksin ada beberapa bahan kimia yang membentuk resepi misteri milik pengilang farmaseutikal.
Cecair kimia ini membawa satu jenis atau beberapa jenis makhluk halus (mikro organisma) yang dilalikan atau yang telah dibunuh. Setelah melalui prosedur ketat pembuatannya dan melalui ujian klinikal mengikut metodologi yang padu, obat ini dipasarkan ke seluruh dunia.
Kata pakar-pakar perubatan seluruh dunia, vaksin sangat efektif mengekang penyakit-penyakit kental yang sukar diubati. Mereka merujuk pada hasil kajian evidence based medicine iaitu perubatan bersandarkan bukti. Kajian dilakukan melalui instrumen bancian secara kuantitatif dan kualitatif. Setelah proses olahan statistik selesai maka terhasil beberapa carta yang dihias cantik dengan dapatan yang menarik!
Dapatan ini dilaporkan ke kitab-kitab akademik berbentuk jurnal. Dan bab-bab di dalam jurnal ini dijadikan sandaran sahih bagi pakar perubatan di seluruh dunia. Lebih-lebih lagi ianya dikarang oleh saintis terkenal yang berkarya di universitas terkemuka dunia.
Sebagai menghormati umat Islam, wakil-wakil pengilang farmaseutikal ini akan memberikan penerangan tentang vaksin bersandarkan kitab-kitab akademik yang kununnya sahih sanad kepada wakil-wakil ustad yang bertugas di kantor-kantor atau majelis-majelis agama Islam.
Dipancarkan beberapa slaid PowerPoint atau Prezi ke layar putih, pembentangan itu mungkin sangat meyakinkan sehingga kata orang Amerika drop their jaw to the floor. Iaitu para ustad mungkin tercengang hingga terbuka luas mulutnya melihatkan dan mendengarkan fakta itu.
Hasilnya, petua tentang vaksin diwartakan. Maka berbondong-bondong bayi umat Islam mendapatkan suntikan vaksin demi maslahat kesihatan. Samalah juga apabila hendak menunaikan haji. Begitu tiada siapa mempersoalkan kesahihan kitab perubatan akademik sepertimana keras-keras membantah hadis-hadis palsu dan fahaman Syiah.
Apa nabi ajarkan kita berubat menggunakan mikro organisma berbahaya yang dipaksakan ke dalam saluran darah? Tambah-tambah di tika bayi baharu mendarat ke dunia ini?
Detik organ-organ sedang menciptakan sistem dalaman, bahan asing telah diperkenalkan lebih awal ke dalam darah seorang bayi. Maka terlahirlah GMO berbentuk manusia yang kalis penyakit tertentu. Genetically modified human species (GMHS). Seperti padi kalis penyakit atau keluli tahan karat atau plastik yang tidak mereput.
Kita tidak tahu apa kesannya terhadap otak bagi jangka waktu yang panjang. Secara luaran kita lihat semua orang waras-waras belaka. Apa tidaknya? Aku dan engkau sama, kita serupa. Sebab kita sama-sama kena injit. Tidakku nampak bukti kesan buruk terhadap emosi serta tingkah-laku...
Tentera adalah golongan yang paling banyak kali disuntik vaksin dari pelbagai jenis.
Yang pastinya kita dapat melihat serta meramal pola pemikiran masyarakat dewasa ini. Kita sudah kehilangan bijaksana. Kita tidak lagi mampu melihat di balik tabir serta menafsir. Sudah tentu kita dengan mudahnya dipermain-main dengan 2 kad tadi. Orang-orang lama di kampung-kampung mungkin berasa pelik dengan masyarakat moden. Akhirnya berlaku suasana tak boleh masuk di dalam pergaulan.
Lama-kelamaan masyarakat dunia menjadi zombie yang waras kecuali para bangsawan dunia serta kaum keluarganya. Tidaklah hairan apabila beberapa filem akhir zaman terbitan Hollywood sentiasa mengiklankan vaksin sebagai obat yang paling mustajab ketika berlakunya bencana penyakit di seluruh dunia. Vaksin jadi obat gerenti untung bagi pengilang farmaseutikal milik bangsawan dunia yang tidak menjanjikan 100% keberkesanannya.
Nampaknya, nenek Tun Siti Hasmah dukacita terhadap sebilangan ibu-bapa yang memilih untuk menolak vaksin. Begitu juga beberapa para pengamal politik dan perubatan komersial. Kini, sebuah peruntukan undang-undang dan petua sedang diperhalusi untuk mewajibkan pengambilan vaksin.
Jikalau undang-undang wajib dilaksanakan dan petua, apakah ia bakal DIJAMIN OLEH KERAJAAN?
Jadi, apa kesudahannya isu vaksin?
Isunya seperti Brexit. Pola pendapat berbelah-bahagi. Masing-masing dengan fakta-fakta yang kukuh. Ia bakal menjanjikan isu yang tiada kesudahan kerana tiada pihak yang mampu memberi jaminan. Pertelagahan ini sama seperti pertelagahan politik. Tetapi memaksa masyarakat dengan peruntukan undang-undang atau petua adalah sangat tidak adil. Jikalaupun statistik difteria memuncakkan kebelakangan ini, menggunakan data ini sebagai justifikasi juga tidak adil. Data statistik bukanlah sahih mutlak.
Pendita, apa yang perlu saya buat?
Semak asal-usul vaksin sehalus-halusnya sehingga terungkai misteri seperti misteri teknologi pembuatan enjin kereta Toyota. Apabila dapat jawapannya, bolehlah dibuat keputusan. Jikalau ragu-ragu...jangan ikut orang. Dunia ini penuh fitnah. Fitnah ini bermula sejak Iblis berkelahi dengan Allah.
Iblis: Jikalau tidak boleh menyesatkan manusia melalui hasutan, akan daku sesatkan kalian melalui sains perubatan.
Selamat Hari Raya Puasa 1437H. Semoga hari raya kali ini kita lebih berwaspada serta bijaksana. Hati-hati dengan segala apa yang dimasukkan ke dalam badan biologi lumrah. Maaf zahir dan batin.
-Pendita-

Ahad, Februari 14, 2016

Gara-gara ajaran aneh nan pelik bangsa ini hilang ibunda-nya

Selamat sejahtera!
Pada minggu lepas, masyarakat Han (Cina) merayakan tahun baharu mengikut kalender ibunda-nya.
Atas dasar kepercayaan mereka, tahun ini berkisar tentang dewa kera Wukong atau Hanuman, lagenda Melayu kuno Kelantan.
Dewa ini dikatakan sangat degil sehinggakan Maharaja Jed di kayangan tidak dapat mengawalnya. Jikalau dikaitkan dengan tradisi Bible King James, ia boleh disamakan dengan malaikat penderhaka iaitu "the fallen angels."
Dek terlalu taksud dengan Kung Fu, budaya Han mensabitkan dewa ini dengan keperwiraan hebat bak Ip Man pada zaman ini.
Pada 1 haribulan Jun akan datang, puak-puak dayak akan menyambut hari besar Gawai. Pada hari ini cuti umum bagi negeri Sarawak. Adat istiadat pada hari ini adalah menghias rumah, melawat kuburan sanak-saudara dan menjamu para tetamu sambil mabuk dengan minuman tuak. Hari besar dayak ini juga berkisar tentang dewa-dewa di alam ghaib.
Dan apabila kita mengungkit Hanuman dari kisah Melayu kuno Kelantan, kita dapati jalan cerita yang berlainan berbanding Wukong Cina namun falsafahnya sama iaitu adanya dewa tunggal yang agong.
Jikalau diteliti lebih halus, tradisi Hindu ini mungkin bermula di Semenanjung Tanah Melayu atau Asia Tenggara berbanding di Sungai Ganges, India. Hal ini boleh diperbesarkan dengan tradisi Bali Hindu Dharma, mazhab yang sangat berlainan dari benua Hindustan. Mereka menyembah Sang Hyang Tunggal.
Sebaliknya, tiadalah pelik orang Islam Melayu bersembahyang kerana mereka menyembah Sang Hyang Tunggal disabitkan dengan Allah yang satu. Dan itulah konsep sembahyang bagi tradisi ibunda Melayu kerana mereka menyembah tuhan tunggal sejak dahulukala.
Tradisi ini telah diterima baik sejak mula bangsa ini menganut Islam. Tiada sebarang isu menggantikan istilah sembahyang dengan solat. Atau menggantikan istilah surau dengan musolla. Lagipun, asas menjadi Islam hanya perlu mengaku Allah yang tunggal dan Nabi Muhammad pesuruhNya.
Maka itu adalah beberapa tradisi ibunda bangsa Melayu yang sedang giat dikikis oleh puak madrasah yang gemar mengemis wang itu. Mereka membawa ajaran aneh nan pelik.
Jadi apabila melihat kaum-kaum lain girang merayakan hari kebesaran ibunda masing-masing, tertanya apakah perayaan ibunda bangsa Melayu? Dan kita sadar bahawa ternyata bangsa Melayu tiada perayaan tradisi atau terpupus sudah hari itu.
Adat-istiadat Melayu masih tersisa dipertahankan oleh tradisi silat dan istana. Itu pun jikalau boleh hendak dipupuskan oleh para ustad di semenanjung ini.
Hari ini, saluran TV AlHijrah telah memulakan langkah meng-standard-kan silat mengikut acuan ustad melalui Akademi Silat Pendekar Muda 2016. Niat yang murni tetapi jangan mansuhkan ajaran silam pak guru demi mengikut kata ustad.
Jikalau benar jin itu sangat berkuasa, maka merekalah patut memerintah dunia. Tetapi kita tahu manusia itulah pemimpin dunia. Di dalam tradisi silat, terdapat beberapa latihan yang sangat ampuh menjadikan pendekarnya digeruni jin dan ifrit sendiri.
Sebagai contoh, badan pendekar yang bergelombang kuasa memegang kerisnya dengan ibu jari menyalurkan tenaga melalui logam keris sudah cukup untuk menembak getaran kuasa yang boleh membakar apa saja.
Malangnya kata ustad ilmu itu atas bantuan jin. Sedangkan jin sendiri boleh terbakar dengan kuasa ini. Akhirnya, keris dikaitkan dengan syaitan, hanya dijadikan sebagai persalinan pengantin.
Jikalau kisah Harry Potter dengan kayu penunjuknya itu hanya dongengan karya Rowling, bertanyalah pada mereka yang pernah bertarung di alam ghaib apa rupanya di sana?
Dek satu demi satu budaya ibundanya hilang, maka bangsa lain mula mempersoalkan perihal Melayu itu sendiri. Apakah bangsa Melayu itu wujud dari ciptaan Arab pendakwah yang menafsirkan bangsa ini sebagai Mala-u dari perkataan Arab? Bangsa ini terpinga-pinga untuk menunjukkan bukti bangsa.
Malang bertimpa, segala macam bukti sudahlah lama dikuburkan oleh para ustad kamu sendiri. Dek mati kutu tiada idea, para NGO Melayu mengatakan bahawa bangsa ini adalah bangsa IMS (Ibrahim-Muhammad-Sulaiman). Demikian, mengaku sajalah anda itu dari Bani Israel.
Yang paling memilukan ialah, para profesional Melayu sudah mula membongkarkan sejarah keluarga. Kata mereka, "Atok belah bapak asal Pakistan, atok belah mak asal China." Kata mereka lagi, "Saya dari keturunan Bugis, masakan kami tak berkuah sebab bangsa pelaut."
Sedikit demi sedikit, mereka yang mengaku Melayu mula berpaling tadah. Mereka tidak mengaku berjanji Melayu tetapi mereka mengaku masakan berlado memang sodap. Yang tersisa Melayu hanya di utara dan pantai timur semenanjung, Brunei Melayu Islam Beraja serta Datuk Rais Yatim.
Gara-gara ajaran agama yang aneh nan pelik, orang Melayu hilang puncha. Di negeri-negeri yang bekerja hari Jumaat, ceramah agama berlangsung di masjid-masjid pada malam dan hari Ahad. Seolah-olah mengikut tradisi gereja.
Lagu-lagu pujian terhadap Allah didendangkan di dalam bahasa asing (Arab), tiada sepatah pun boleh dihayati. Mendengar khutbah hari Jumaat umpama kena marah tiap-tiap minggu.
Selesai Jumaat, para jemaah melalui fasa stress menyambung kerja di pejabat. Jikalau anda penjawat awam atau bekerja di syarikit milik bangsa, maka akaun emel anda akan dilimpahi dengan pesanan agama supaya anda sentiasa menjadi pekerja yang patuh (bos bermaharajalela).
Sekian lagi, bangsa ini terpinga-pinga dengan pelbagai general orders atau perintah am. Mana tidaknya, ustad kata, "buat sekian-sekian;" orang kampong kata, "buat yang ini dan yang itu;" bos kata, "ikut arahan!"
Jadi bangsa ini terkongkong oleh arahan dari langit, arahan dari gua, arahan dari internet. Ia umpama: pagi sekolah kebangsaan, petang sekolah agama, malam buat home-work.
Sekarang bangsa ini makin runsing bertambah pinga-pinganya. Apa tidaknya, dari harga minyak naik kos hidup makin tinggi, hingga harga minyak merudum jatuh hidup lagi susah. Apa, dunia ini main-mainkah?
Ya, dunia ini memang main-main dan anda dipermainkan dengan jayanya.
Apakah puncanya? Puncanya ialah ibunda kamu dimatikan oleh ajaran aneh nan pelik.
-Pendita-

Korban Bahasa Melayu: Kejuruteraan juga serupa....

Assalamualaikum dan Selamat Hari Raya Puasa! Sekarang dalam-dalam sibuk berhari raya walaupun sudah masuk kerja, isu besar melanda negara. I...